Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) menyatakan hotel bajet terpaksa menaikan harga susulan impak ketiadaan kawal selia terhadap penginapan jangka pendek yang “tumbuh bagai cendawan”.
Menurut Presiden Persatuan MyBHA, Sri Ganesh Michiel, kegagalan pihak berwajib mengawal selia agensi pelancongan dalam talian (OTA), termasuk juga tiada tindakan tegas terhadap penyedia penginapan berlesen, membawa kesan lebih parah kepada pengusaha hotel bajet yang berdepan penurunan pendapatan.
“Kami ingin menegaskan kami tidak berniat untuk menaikkan harga jualan hotel bajet sembarangan dan kenaikan ini akan berlaku sekiranya ancaman-ancaman industri perhotelan gagal diselesaikan oleh pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian dalam mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, tidak patut harga bilik dinaikan sewenang-wenangnya, kelmarin.
Katanya, di Sarawak juga wujud terlalu banyak penginapan jangka pendek tidak diselia kerajaan negeri.
“Kami sentiasa menyokong hasrat Sarawak menerima jumlah pelancong yang tinggi, tetapi kerajaan negeri perlu memastikan yang mendapat manfaat daripada kehadiran pelancong perlulah daripada kalangan pengusaha industri pelancongan atau perhotelan yang berdaftar dan berlesen,” katanya.
MyBHA mendesak dilaksanakan kawal selia terhadap unit kediaman atau rumah kedai diubah menjadi unit atau bilik kediaman jangka masa pendek, yang kemudiannya dijual melalui portal agensi pelancongan dalam talian tanpa memerlukan apa-apa lesen perniagaan.