Buletin

Tiada kenaikan harga pelitup muka, SIRIM kenakan caj murah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga mendadak selepas Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan bermula 1 Januari tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, SIRIM QAS International Sdn Bhd berjanji akan memberikan harga yang paling rendah kepada pengeluar dan pengimport bagi mendapatkan perakuan MS SIRIM.

Justeru, beliau mengingatkan pengilang dan pengimport agar tidak menaikkan harga pelitup muka bukan perubatan sesuka hati.

“Jadi untuk pengguna tempatan ini mungkin (mereka bimbang akan) naik harga…  saya beri jaminan (tidak berlaku kenaikan) kerana saya sudah bincang dengan pihak industri.

“SIRIM memberi jaminan akan beri harga yang murah dan SIRIM pun prihatin kepada rakyat betapa pentingnya pelitup muka. Jadi dia buat caj murah,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat bersama pihak industri di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, KPDNHEP juga tidak berhasrat melaksanakan skim harga maksimum bagi mengawal harga pelitup muka bukan perubatan.

Sebaliknya, beliau berkata, langkah terbaik adalah disiplin yang perlu dipamerkan oleh pihak industri.

Mengenai denda terhadap perintah tersebut pula, Alexander menegaskan, pengguna tidak akan berdepan dengan sebarang tindakan jika memakai pelitup muka bukan perubatan tanpa pengesahan MS SIRIM.

Tegasnya, hanya pengilang dan pengimport yang tertakluk kepada denda tersebut, jika didapati melanggar perintah berkenaan apabila ia berkuat kuasa kelak.

“Individu yang dimaksudkan adalah bukan pengguna (tetapi) individu yang terikat dalam peniagaan… individu yang terlibat sebagai pengimport, pengeluar atau pengilang,” jelas beliau.

Kegagalan mematuhi perintah tersebut boleh menyebabkan mana-mana syarikat dikenakan denda tidak melebihi RM200,000, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.

Bagi individu (pengeluar/pengimport) pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya pula, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, KPDNHEP mengumumkan penangguhan penguatkuasaan perakuan dan penandaan MS SIRIM bagi pelitup muka bukan perubatan yang dijadual bermula 4 Julai ini kepada 1 Januari tahun depan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top