Umum

Tiada lagi pengeluaran KWSP, kerajaan perkenal alternatif lain

Tiada lagi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan alternatif kepada pencarum KWSP.

Melalui kaedah itu, katanya, kerajaan akan mencarum sejumlah RM500 kepada setiap pencarum berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka.

“Kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.

“Oleh demikian, kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka, kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 mereka sebanyak RM500,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023.

Menurut Anwar, hampir dua juta ahli KWSP akan menerima manfaat dengan melibatkan peruntukan hampir RM1 billion.

Bagaimanapun, dalam masa sama beliau berharap rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan menolak untuk membenarkan satu lagi pengeluaran KWSP kerana bimbang simpanan yang terlalu sedikit.

Kira-kira 8.1 juta ahli KWSP mengeluarkan sejumlah RM145 bilion dalam beberapa siri pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

PALING POPULAR

To Top