Business

KWAP memperuntukkan RM500 Juta untuk Dana Perintis

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah mengumumkan pelancaran Dana Perintis, yang disasarkan untuk memberi sokongan kepada ekosistem modal teroka (Venture Capital) Malaysia.

Dengan ini, KWAP memperuntukkan pelaburan sehingga RM500 juta dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang, KWAP mensasarkan inisiatif pemerkasaan syarikat pemula (startups) untuk memacu inovasi dan menyokong daya tahan ekonomi.

Dana Perintis ini telah diasaskan berdasarkan dua kategori strategik iaitu pelaburan ke dalam modal teroka yang memfokuskan Malaysia dan pelaburan terus dalam syarikat pemula.

Dengan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk setiap kategori, inisiatif KWAP ini disasarkan untuk memacu pertumbuhan dalam landskap keusahawanan selari dengan komitmen kelestarian KWAP sebagai salah satu organisasi yang menyokong Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“KWAP menyedari potensi untuk berinovasi serta pertumbuhan dalam ekosistem peringkat awal di Malaysia,” kata Encik Hazman Hilmi Sallahuddin, Ketua Pegawai Pelaburan di KWAP.

“Kami berbangga untuk memperkenalkan Dana Perintis, sebuah inisiatif yang menyokong komitmen untuk memacu pertumbuhan industri syarikat pemula di Malaysia. Dengan Dana Perintis, kami bukan sahaja menyalurkan modal kewangan, tetapi juga melabur kepakaran, sumber dan komitmen untuk melihat syarikat pemula Malaysia berjaya melangkah ke pentas dunia, terutamanya untuk syarikat yang disokong secara terus.”

Sejumlah RM250 juta akan disalurkan kepada pelaburan ke dalam dana modal teroka dengan pendedahan berfokuskan kepada Malaysia. Ini selari dengan wawasan KWAP untuk menyokong dan membangunkan ekosistem teroka yang mampu berdiri sendiri. Modal teroka ini akan berfungsi sebagai pemangkin dinamik, memupuk inovasi dalam kalangan syarikat pemula dan memberikan dana yang mencukupi bersama bimbingan yang sewajarnya. Pelaburan strategik KWAP akan merangkumi keseluruhan spektrum perjalanan syarikat pemula – daripada syarikat pemacu kepada syarikat pengurus pertumbuhan. Ini akan menyumbang kepada pematangan keseluruhan ruang modal teroka di Malaysia.

Sejumlah RM250 juta lagi akan didedikasikan kepada pelaburan terus ke dalam syarikat yang berpotensi di peringkat awal. Ini membuktikan komitmen KWAP dalam memupuk syarikat pemula melalui fasa pertumbuhan dan pengembangan.

“Kami berdedikasi untuk memperkasa syarikat pemula dan PKS, menyokong tenaga kerja, dan memupuk inovasi. Dalam mencapai visi ini, KWAP telah mengenalpasti beberapa syarikat pemula berpotensi untuk dilabur, yang kini menggajikan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang,” tambah Hazman Hilmi.

Dalam fasa KWAP melaksanakan inisiatif ini, KWAP akan terus menggalas peranan dan komitmen kepada komuniti pesara yang merupakan pemegang taruh utama kami, untuk merangsang pertumbuhan dana pencen, dan membolehkan KWAP memenuhi amanahnya selari dengan slogannya “Teman Persaraan Anda”.

 

Sumber KWAP

PALING POPULAR

To Top