Umum

Tidak hidupkan fungsi kitaran udara luar punca kurang oksigen

Tidak menghidupkan fungsi kitaran udara luaran dalam kenderaan ketika menghidupkan penyaman udara boleh menyebabkan pemandu dan penumpang mengalami kelesuan serta pengsan akibat kekurangan oksigen.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Profesor Dr Wong Shaw Voon berkata, fungsi tersebut adalah penting bagi memastikan oksigen sentiasa mencukupi terutama untuk pemanduan jarak jauh.

“Apabila tidak menghidupkan fungsi ini, ditambah dengan perjalanan yang jauh dan sesak semasa perayaan, ia menyebabkan oksigen yang ada akan berkurangan serta memberi risiko kepada pengguna kenderaan tersebut.

“Perlu tekan butang yang ada itu walaupun kita tahu kesannya penyaman udara kurang sejuk dan bau dari luar akan masuk dalam kenderaan. Namun, ia sebagai langkah keselamatan sebelum perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan, empat sekeluarga pengsan di dalam kenderaan dipercayai kekurangan oksigen di dalam badan sebelum kereta dinaiki merempuh Plaza Tol Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada jam 2.40 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong, Selangor.

Menurut Shaw Voon, kejadian itu berkemungkinan berlaku disebabkan mangsa tidak menggunakan fungsi kitaran udara luaran sebagai langkah keselamatan.

Tambahnya, jika tidak mahu menggunakan kitaran udara luaran, adalah disarankan untuk membuka tingkap agar pengudaraan berlaku dengan baik.

“Contoh kes di Bentong, mereka ada empat orang. Jadi, kadar oksigen yang mereka dapat adalah lagi rendah sebab perlu berkongsi. Tingkap ditutup, butang tidak ditekan, ditambah dengan ruang yang terhad menyebabkan ia berlaku.

“Apabila lama sangat di dalam kereta tanpa menggunakan fungsi kitaran udara luar, mereka akan rasa penat. Ini bermaksud sudah kritikal. Bila dah rasa begitu (penat), kena buka tingkap sebelum pengsan,” ujarnya.

Jelas beliau, bagi pemanduan jarak dekat, tidak mendatangkan masalah jika tidak menggunakan fungsi kitaran udara tersebut.

“Kalau memandu dekat, dalam 10 minit sampai, memang tiada masalah. Tapi kalau 10 jam, memang akan membawa masalah. Demi keselamatan, tekan butang tersebut,” katanya. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top