Umum

2 pengurus PetroSaudi didakwa di Switzerland berhubung skandal 1MDB

Dua pengurus PetroSaudi didakwa di Switzerland kerana disyaki menggelapkan dan melakukan pengubahan wang haram hampir AS$2 bilion (RM8.89 bilion) berkaitan dana negara 1MDB yang dicemari skandal, kata Bern, semalam. 

Menurut Pejabat Pendakwa Raya Tertinggi Switzerland, ia telah “memfailkan dakwaan terhadap dua pengurus PetroSaudi”, sambil menambah bahawa kedua-duanya, yang tidak dinamakan, menghadapi tuduhan penipuan, jenayah salah urus tadbir dan pengubahan wang haram yang lebih teruk. 

“Mereka didakwa, dengan tujuan untuk memperkayakan diri mereka sendiri dan orang lain, menyalahgunakan sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion yang dipindahkan oleh dana kekayaan negara Malaysia… 1MDB berkaitan usaha sama dengan PetroSaudi… dan telah melakukan pengubahan wang haram dengan jumlah yang terlibat,” menurut kenyataan itu. 

Dakwaan itu, yang meliputi tempoh dari 2009 hingga 2015, hanyalah perkembangan terbaru dalam apa yang disifatkan sebagai “kes pengubahan wang haram terbesar pernah berlaku”. 

Ia mula diketahui pada 2015 di tengah-tengah pendedahan bahawa sejumlah besar wang daripada 1MDB telah dirompak. 

Siasatan dilancarkan di seluruh dunia terhadap skandal rasuah terbesar, yang melibatkan perdana menteri ketika itu Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes tersebut.

Ditipu 

Dakwaan peguam negara, yang difailkan ke Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland, mendakwa bahawa dua pengurus syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Arab Saudi, PetroSaudi yang tidak dinamakan itu telah bersubahat dengan pembiaya Malaysia dan orang kepercayaan Najib, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, di tengah-tengah skandal 1MDB.

Bersama-sama, mereka telah “mencadangkan satu skim pelaburan yang terdiri daripada transaksi dua negara” antara Arab Saudi dan Malaysia melalui 1MDB, yang terdiri daripada usaha sama antara PetroSaudi dan 1MDB, katanya. 

Menurut kenyataan itu, Arab Saudi sebenarnya tidak terlibat dalam usaha itu, tetapi dalam usaha untuk mengukuhkan penampilannya, tertuduh membantu mengadakan pertemuan antara Najib dan seorang putera Arab Saudi di atas kapal layar di Cannes pada 2009. 

Lembaga dana kekayaan itu telah ditipu, dan juga tidak pernah dimaklumkan bahawa perjanjian berkenaan menyebabkan syarikat terbabit mempunyai hutang AS$700 juta kepada PetroSaudi, atau syarikat cari gali minyak itu sebenarnya tidak memegang hak ke atas aset bernilai AS$2.7 bilion tersebut.

Akibatnya, lembaga berkenaan meluluskannya dan transaksi itu dijalankan pada September 2009, dengan 1MDB mengumpul wang tunai sebanyak AS$1 bilion.

Akaun dalam talian

Bagaimanapun, selepas itu sejumlah AS$700 juta daripada sumbangan tersebut dipindahkan dengan pantas ke akaun bank Switzerland atas nama syarikat milik Low, yang memindahkan AS$85 juta kepada seorang tertuduh dan seterusnya memindahkan AS$33 juta kepada orang lain, menurut kenyataan itu.

Tambahnya, baki AS$300 juta dimasukkan ke dalam akaun bank Switzerland milik usaha sama itu, tetapi hanya menguntungkan PetroSaudi. 

Selain itu, kedua-dua tertuduh dan Low, berjaya meyakinkan lembaga 1MDB untuk membenarkan pemindahan sebanyak AS$830 juta lagi sebagai sebahagian daripada pinjaman Islam yang menyusuli daripada usaha sama itu, katanya. 

“Dana yang dipindahkan juga telah diselewengkan,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa AS$80 juta dalam dakwaan pembayaran faedah yang dipindahkan kepada 1MDB sebenarnya diambil daripada dana yang dipindahkannya sendiri. 

Menurut dakwaan, tertuduh telah melakukan pengubahan wang haram itu antara 2009 dan 2015 dengan membuka akaun bank dalam talian di Switzerland dan luar negara, memindahkan dana antara mereka, dan juga menggunakan dana itu untuk membeli hartanah di Switzerland dan London, barang kemas dan ekuiti persendirian.

Masih tidak jelas bila kes itu boleh dibawa ke perbicaraan. 

Kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa tertuduh “berhak untuk dianggap tidak bersalah sehingga penghakiman mendapati mereka bersalah.”

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top