Umum

Jurulatih disyaki terlibat kes cabul pelatih kanak-kanak perempuan ditahan

Gambar Hiasan

Seorang jurulatih sebuah pusat seni bela diri di Shah Alam ditahan kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kes cabul melibatkan kanak-kanak perempuan di pusat tersebut.

Suspek lelaki berumur 20 tahun yang juga pelajar sebuah kolej swasta itu dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku sekitar bulan September hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan sebelum ini dibuat oleh salah seorang ibu mangsa sekitar jam 1.53 petang, Khamis lalu.

“Mangsa pertama merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun mendakwa telah dicabul oleh suspek semasa berada di dalam tandas di pusat mempertahankan diri berkenaan,” katanya

Menurutnya, setakat ini pihak polis telah menerima 4 laporan polis berkaitan dengan kejadian yang sama namun melibatkan mangsa yang berbeza.

Tambahanya, siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa terdiri daripada kanak-kanak perempuan yang berusia antara 7 hingga 9 tahun.

Suspek yang dipercayai telah berkhidmat sebagai tenaga pengajar seni bela diri sejak setahun lalu kini direman empat hari bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh tampil menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Selain itu, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103,” katanya.

PALING POPULAR

To Top