Umum

Tidak sempat rai hari jadi, tiga lelaki maut kereta bertembung lori tangki

Tiga lelaki maut setelah kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki dalam nahas di Kilometer (km) 7, Jalan Maharajalela-Teluk Intan, dekat sini, malam tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai S.Srinivasa Rao, 19; M.Phooveandra, 26; dan KC Thinakaran,19, yang menaiki kereta jenis Volkswagen.

Sementara pemandu kereta berkenaan V. Syarvin Kumar, 26, dan seorang lagi penumpang CM Kaushin, 19, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata polis menerima maklumat awam berhubung kejadian kira-kira jam 9.40 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Hutan Melintang menghala ke Teluk Intan manakala lori tangki dari arah Teluk Intan menuju ke Hutan Melintang.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki tiga mangsa itu telah masuk ke laluan bertentangan menyebabkan lori tangki itu tidak sempat mengelak dan melanggar kereta berkenaan.

“Srinivasa Rao disahkan maut di tempat kejadian, manakala dua lagi rakannya Phooveandra dan Thinakaran meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, pemandu lori tangki Baharuddin Mat Zin, 48, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu yang juga pemilik kereta berkenaan, Syarvin merupakan pekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang bercuti ke kampungnya di sini.

“Semasa kejadian, pemandu, Syarvin keluar bersama adik saudaranya serta rakan mereka untuk menyambut hari jadi adik saudaranya Thinakaran di Pekan Teluk Intan.

“Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Volkswagen mereka terbabas masuk ke laluan lori tangki menyebabkan kemalangan berlaku,” jelas beliau.

Ahmad Adnan berkata bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa maut dijalankan pada Isnin selepas mendapat keputusan COVID-19 di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PALING POPULAR

To Top