Umum

Tindakan import telur oleh kerajaan tidak masuk akal

Tindakan mengimport bekalan telur ayam bukan satu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kekurangan sumber protein itu di negara ini.

Pengarah Urusan rangkaian Pasar Raya Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, berkata tindakan itu juga sebagai tidak masuk akal memandangkan Malaysia adalah pengeksport bersih barangan makanan itu.

Beliau berkata, Malaysia sepatutnya berhenti mengeksport telur ke Singapura dan Hong Kong jika bekalan dalam negara tidak mencukupi.

“Jika pihak berkuasa mengatakan kita mengeluarkan telur yang mencukupi untuk pasaran domestik, mana (telurnya)? Peruncit tidak mempunyai bekalan mencukupi,” katanya yang dipetik FMT Bussines.

Ameer Ali berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, bahawa kerajaan bersetuju mengimport telur ayam daripada beberapa sumber luar sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan bekalan mencukupi.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan juga rancangan berkenaan, kerajaan perlu menjelaskan syarikat mana yang boleh mengimport telur dan peruncit yang dilantik syarikat terbabit.

“Kerajaan juga harus menyediakan senarai negara sumber telur dan senarai pengeluar yang diluluskan dari negara berkenaan. Namun, sukar untuk kita melihat bagaimana langkah mengimport telur ini dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ini.

“Telur mempunyai jangka hayat yang singkat iaitu 21 hari dan tidak boleh dibekukan. Jadi, dari aspek logistik, ia perlu diimport dari negara di rantau ini.

“Harga telur paling rendah adalah di Malaysia. Sedozen telur Gred C berharga RM4.92, tetapi di Thailand, ia bersamaan dengan RM7.42, Singapura (RM12.24), Indonesia (RM6.55), Brunei (RM10.15) dan Vietnam (RM5.78).

“Saya tidak nampak bagaimana telur yang diimport mampu dimiliki rakyat Malaysia,” katanya.

Tambahnya, satu-satunya jenis telur yang terdapat di pasaran dalam kuantiti yang mencukupi ialah telur yang tidak tertakluk kepada kawalan harga seperti Omega 3, yang boleh mencapai harga 75 sen sebiji.

Dakwanya, kebanyakan perniagaan terpaksa membeli telur jenis ini dan ia menyebabkan harga lebih tinggi di kedai roti serta restoran.

“Perkara paling mudah dilaksanakan adalah kerajaan menarik balik kawalan harga. Walaupun pengeluar menaikkan harga telur sebanyak 10 sen setiap satu, ia masih lebih rendah daripada 75 sen bagi setiap telur Omega 3,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top