Umum

TUDM menerbangkan 99,400 dos vaksin dari Sarawak ke Sabah

KUCHING: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menerbangkan 99,400 dos vaksin COVID-19 dari Sarawak ke Sabah.

TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan penerbangan itu melibatkan vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) melalui pinjaman vaksin daripada kerajaan Sarawak di tiga lokasi iaitu di Kuching, Sibu dan Bintulu untuk dibawa ke Tawau, Sabah.

Menurut TUDM, pemindahan vaksin itu juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Sabah meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat di negeri itu bagi mencapai sasaran imuniti kelompok iaitu 80 peratus rakyat divaksin pada Oktober 2021.

“Pesawat C130 berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan tiba pada pukul 11.30 pagi di Pangkalan Udara Kuching.

“Pesawat itu kemudiannya berlepas dari Kuching pada 12.30 tengah hari dan terbang ke Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Tawau dan tiba pada 4.30 petang,” kata kenyataan itu.

Bekalan vaksin itu kemudiannya telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

PALING POPULAR

To Top