Umum

Tukang kebun terjumpa bom mortar di belakang rumah

Gambar PDRM

Seorang tukang kebun telah menemui sebutir bom mortar berkarat berukuran 60mm di belakang sebuah rumah di Jasin hari Sabtu.

Menurut Ketua Polis Jasin Ahmad Jamil Radzi, bahan letupan jenis “Unexploded Ordnance (UXO)” itu ditemukan di belakang rumah yang terletak di Kampung Tersusun dekat Serkam Darat kira-kira 9 pagi hari Sabtu.

“UXO berkenaan ditemukan tukang kebun itu ketika mengemas rumah seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jasin.

“Selepas dimaklumkan isterinya, anggota APM itu yang sedang bertugas balik ke rumah untuk membuat pengesahan,” katanya dilaporkan Bernama

Mengulas lanjut, Ahmad Jamil berkata, anggota APM berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Merlimau kira-kira 10.30 pagi.

Sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom IPK Melaka tiba di lokasi pada 11.45 pagi dan memeriksa bom tersebut sebelum ia dibawa ke Pejabat Pensenjataan IPK Melaka untuk dimusnahkan.

PALING POPULAR

To Top