Umum

Hati-hati buat kenyataan yang boleh guris hati orang Melayu, Ahmad Maslan

Gambar Facebook

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pimpinan utama parti dalam Kerajaan Perpaduan lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan kerana dikhuatiri boleh menyinggung perasaan orang Melayu dan Bumiputera.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, kenyataan berbaur perkauman yang dicetuskan pimpinan DAP amat berbahaya bukan sahaja kepada sensitiviti rakyat malah keharmonian masyarakat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kenyataan kontroversi yang dikeluarkan beberapa pimpinan DAP itu sengaja dibuat bagi melihat dan mengukur reaksi orang Melayu dan Bumiputera.

“Sudah empat pimpinan DAP keluarkan kenyataan kontroversi, kenapa mereka tak faham-faham.

“Maka nak fahamkan mereka, saya akan berikan data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023 membabitkan komposisi kaum negara ini iaitu Bumiputera sebanyak 70.1 peratus; Cina (22.6 peratus); India (6.6 peratus dan lain-lain (0.7 peratus).

“Jangan nak mengguris hati 70.1 peratus itu, ia amat bahaya,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua-ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Bangunan UMNO, pada hari Sabtu.

Difahamkan Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian itu membuat kenyataan itu ekoran beberapa kenyataan kontroversi pimpinan DAP.

Terbaharu, cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Sehubungan itu, Ahmad Maslan menyatakan beliau berharap Kabinet tidak meluluskan cadangan dibuat Kor Ming berhubung perkara itu.

“Sentiasa berhati-hati apabila membuat pengumuman atau kenyataan yang babitkan hubungan antara kaum kerana kesannya amat besar,”ujarnya.

PALING POPULAR

To Top