Umum

UiTM kekalkan dasar pengambilan pelajar

Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengekalkan dasar pengambilan pelajar sedia ada, meskipun terdapat gesaan agar institusi pendidikan MARA itu menerima sementara pelatih bukan Bumiputera dalam program ijazah lanjutan pembedahan kardiotoraksnya.

Menurut Naib Canselor Shahrin Sahib, tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar itu dalam mana-mana mesyuarat Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti.

“UiTM akan terus berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta UiTM yang menyatakan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“UiTM komited untuk terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang memartabatkan Bumiputera melalui peluang pendidikan berkualiti, sejajar dengan peruntukan itu,” katanya menerusi kenyataan.

Dr Raja Amin Raja Mokhtar daripada Fakulti Perubatan UiTM mencadangkan langkah itu sebagai penyelesaian kepada beberapa kes kelayakan pelatih tidak diiktiraf.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menyatakan kementeriannya tidak menerima permohonan daripada UiTM untuk membuka program latihan ijazah lanjutan kepakaran atau ‘parallel pathway’ itu kepada bukan Bumiputera.

Pengerusi Malaysia Health and Humanity Organisation Dr Alan M Raman menyatakan walaupun beliau akui terdapat keperluan menambah jumlah pakar dalam bidang pembedahan kardiotoraks dalam negara, UiTM merupakan sebuah institusi yang berlandaskan matlamat penubuhan iaitu selari Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan tertakluk kepada perkara tersebut.

UiTM adalah satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘parallel pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang pembedahan kardiotoraks

PALING POPULAR

To Top