Umum

Umno Selangor kembalikan kuota 20 jawatan ahli majlis PBT Selangor kepada PH

Gambar Umno Selangor

Umno Selangor akan mengembalikan kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin, tindakan itu bukan disebabkan pihaknya merajuk sebaliknya bagi menafikan dakwaan bahawa parti itu tamak dan mendesak PH.

Bagaimanapun, Umno Selangor mahu kesemua 373 jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diserahkan kepada pihaknya.

“Kita mahu PH jaga bandar dan Umno jaga kawasan kampung,” kata Megat Zulkarnain pada sidang media selepas Majlis Retreat MCA Selangor di Wisma MCA hari ini.

“Kita akan sampaikan keputusan ini kepada Presiden Umno Zahid Hamidi dalam pertemuan tertutup di Sepang esok.”

Terdahulu, media melaporkan seorang pemimpin PH Selangor mendakwa ramai anggota gabungan itu tidak berpuas hati dengan pelbagai konsesi yang diberikan kepada Umno.

Pemimpin PH itu yang juga exco Selangor berkata, Umno “terlalu mendesak” walaupun hanya menang dua kerusi pada PRN tahun lepas.

Umno sebelum ini juga mendesak berhubung jawatan exco dan ketua kampung, tambahnya.

Sehubungan itu, Megat berkata, keputusan menyerahkan kembali jawatan ahli majlis PBT itu dipersetujui oleh kesemua 22 bahagian Umno di Selangor susulan mesyuarat semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa Umno Selangor bukanlah tidak sedar diri, mahupun mendesak seperti yang didakwa, sebaliknya hanya mahu berunding atas semangat persahabatan.

“Semua tidak tahu 20 jawatan itu daripada 288 ahli majlis, hanya 7%.

“Berbanding di Melaka, PH ditawar 17 daripada 78 ahli majlis PBT, 20%, tetapi ditolak PH. Sehingga hari ini, ahli majlis PBT di sana belum dilantik,” ujarnya.

 

 

PALING POPULAR

To Top