Umum

Kempen PH-BN sindir negeri Melayu miskin akan makan diri, kata pakar komunikasi

Ketika bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hangat dirasakan, kempen di media sosial antara kedua-dua blok yang bertanding iaitu Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin rancak dengan bahan-bahan propaganda masing-masing. 

Ini bermakna rakyat Malaysia terutama pengguna internet akan berdepan bahan-bahan politik yang disediakan cyber-trooper, istilah yang digunakan merujuk kepada pemain atau pempengaruh media sosial yang dibayar. 

Antara bahan kempen yang sering menjadi tatapan ialah kritikan terhadap status negeri-negeri yang terlibat. 

Kedah dan Kelantan, kedua-duanya kini di bawah pentadbiran PN, menjadi ejekan dan sindiran mengenai kemiskinan selain kekurangan kemudahan asas, seperti bekalan air. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, profesor di Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Shafizan Mohamed berkata, walaupun semua parti mempunyai kumpulan cyber-trooper dan propaganda, kumpulan daripada Pakatan PH mempunyai gaya tersendiri.

“Mereka cenderung untuk menggunakan gaya kononnya mereka lebih intelektual dan berfakta. 

“Gaya mereka memberi komentar seakan menunjukkan mereka lebih bermoral dan lebih berintelektual memandangkan mereka pernah bercakap mengenai rasuah.

“Apabila cyber-trooper PH menulis, mereka merendahkan pilihan politik Melayu, dan mereka sentiasa mengaitkan apa-apa isu dengan Melayu,” katanya.

Katanya, trend menyalahkan Melayu kerana tidak membuat “pilihan politik yang betul” adalah merbahaya dan akan memakan diri bagi PH.

Enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan melangsungkan PRN pada 12 Ogos ini bagi menentukan kerajaan negeri untuk penggal seterusnya. 

Sebelum ini, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaludin sebelum ini berkata cyber-trooper PH antara punca orang ramai tidak berasa senang dengan gabungan itu.

“Salah satu sebab saya tak berapa senang dengan PH hari ini dan saya rasa sebahagian besar (orang ramai) tak senang dengan PH, adalah kerana perangai cytro PH ni,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap baru-baru ini. 

Shafizan berkata, PH mampu mencipta dan membawa sentimen kerana keberadaan penyokong mereka yang kuat di platform dalam talian.

Namun, mereka perlu melakar semula strategi (restrategize) mereka. 

“PH boleh menarik undi Melayu bandar dan lebih liberal. Tetapi majoriti Melayu adalah fundamentalis. Mereka ialah kumpulan berpendidikan dan tahu apa yang mereka buat, dan berpegang teguh kepada idealisme Melayu. 

“Mereka tidak suka apabila direndah-rendahkan dan dikritik.”

Sementara itu, pakar komunikasi daripada Universiti Teknologi Mara, Abd Aziz Aizam berkata berkata, keghairahan cyber-trooper dalam bertarung dan memenangi medan topik berbulan memberikan kesan negatif jika ia tidak diurus dengan berdisiplin.

“Antaranya apabila cyber-trooper ini boleh menjadi toksik dalam operasi mereka. Gerakan mereka ‘menyerang’ lawan menggunakan ugutan, cemuhan, kempen fitnah, dan berita palsu akan sebenarnya menjauhkan potensi pengundi mereka daripada mereka sendiri.

“Pada masa yang sama pula, apabila cyber-trooper kepada sesebuah pihak terlalu cuba untuk menampakkan kumpulan mereka adalah yang terbaik, dengan mewujudkan interaksi positif terhadap mereka sendiri, ia sebenarnya mengganggu perkiraan persepsi sebenar terhadap kumpulan mereka sendiri,” katanya.

Menurut beliau, perkara tersebut menjadi faktor keruntuhan parti akibat tindakan cyber-trooper mereka sendiri. 

Selain isu cyber-trooper, kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengaitkan identiti Melayu dengan isu rasuah. 

“Tidak kira hang pakai serban, baju kot atau semua, Tan Sri ka, Tun ka, atau daripada parti manapun, kalau hang curi duit, kita perosok (masukkan) bilik saya di Sungai Buloh (penjara),” kata Anwar dalam satu majlis di Pulau Pinang sebelum ini. 

Shafizan berkata, ia adalah kenyataan yang tidak mengambil sensitiviti Melayu.

“Tidak bijak untuk Anwar menggunakan komen seperti ini. 

“Ia akan memberi kesan dalam PRN akan datang kerana ia adalah mengenai meyakinkan majoriti Melayu. 

“Perdana menteri dan cyber-trooper tidak berada di landasan yang betul.”

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top