Umum

Vaksin CoronaVac lulus untuk remaja berusia 12 tahun ke atas

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan secara bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu diberikan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 telah bersidang pada pada Jumaat.

“Vaksin keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd.,China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia itu telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

“Ini merupakan vaksin COVID-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada bulan Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, walau bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

“Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD.

 

PALING POPULAR

To Top