Umum

Video tular pecah cermin kereta di lebuh raya, seorang warga Singapura didenda RM5,500

Gambar Facebook

Seorang warga Singapura didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memecahkan cermin kenderaan seorang pengguna jalan raya di KM 139.6 Lebuhraya Utara Selatan di Pagoh pada Sabtu lepas.

Tertuduh, Soh Kian Hui, 45 dijatuhkan hukuman oleh Majistret Fatin Dalilah Khalid yang turut mengarahkannya dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Soh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin belakang kereta jenis Toyota Fortuner milik Khairul Husni Shah Jamil, 31, yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,502.35.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Soh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norain Sakina Zikri memohon hukuman ringan memandangkan dia bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan sekitar SGD3,000 dan menjaga ibunya berusia 71 tahun yang baharu menjalani pembedahan kanser.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selepas kejadian itu tular di media sosial.

Video singkat yang telah tular di media sosial itu mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman ke atas tindakan pemandu tersebut.

 

PALING POPULAR

To Top