Umum

Gagal patuh perintah bayar tuntutan RM500ribu, pengarah Emraz Travel & Tours mengaku tidak bersalah

Gambar FMT

2 pengarah syarikat pengendali pakej umrah didakwa di Mahkamah Majistret atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), untuk membayar balik tuntutan wang berjumlah RM503,221 kepada 17 bakal jemaah umrah.

Kedua-dua pengarah syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga suami isteri Zulkarnain Endut, 43, dan Mazuin Mustafa, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Pasangan tersebut dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat TTPM Kota Bharu dari April hingga September 2023.

Zulkarnain dan Mazuin didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, memohon mahkamah supaya Zulkarnain dan Mazuin masing-masing dikenakan ikat jamin RM102,000, namun Majistret Ahmad Syafiq memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin berjumlah RM10,200.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Hanif Hassan, juga dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.

 

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top