Kerajaan dan sektor swasta harus menjalin kerjasama untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah atau kumpulan sasar B40, kata Pengerusi Bukan Eksekutif Berjaya Corp Bhd (BCorp) Tan Sri Vincent Tan.
Beliau berkata langkah itu penting memandangkan kebanyakan mereka ketika ini menyewa rumah kerana tidak mampu membelinya dan akhirnya akan bersara tanpa memiliki rumah sendiri.
“Jika mereka tidak memiliki rumah sendiri, mereka berpotensi menjadi gelandangan, jadi kita perlu membantu rakyat kita… kita tidak mahu rakyat menjadi gelandangan dan tidak memiliki rumah kerana ia akan menjadi masalah sosial yang besar,” katanya sambil menambah beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan perkara itu.
Tan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Berjaya Land Berhad (B-Land), anak syarikat BCorp, yang diwakili Pengerusi B-Land Tun Richard Malanjum dan Qhazanah Sabah Berhad (QSB) yang diwakili Pengarah Eksekutifnya Mohd Shukor Abdul Mumin untuk membangunkan Bandar Digital Tun Said.
Ia membabitkan perbandaran digital di Kota Belud dengan pembangunan bercampur komersial dan kediaman.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin serta Pengerusi QSB Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
— BERNAMA