Umum

WHBC 2023: Diplomasi Halal, pendigitalan Sijil Halal antara strategi untuk perkasakan Malaysia sebagai pemain utama industri

Gambar HDC

Malaysia bersedia meningkatkan sumbangan ekonomi halal kepada RM230 bilion iaitu anggaran 10.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030 menerusi strategi Diplomasi Halal serta proses pendigitalan Sijil Halal.

Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Khairul Azwan Harun berkata strategi terbabit amat penting kerana ia akan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama industri dalam sektor halal global.

Diplomasi Halal adalah pendekatan yang diperkenalkan kerajaan bagi mengukuhkan hubungan antarabangsa, memupuk kerjasama dan mengharmonikan ekosistem antara negara di seluruh dunia.

Beliau menyatakan, dalam membantu membangunkan ekosistem halal di banyak pasaran dan negara menggunakan kepakaran kita, standard piawaian kita, kerajaan ingin memastikan apabila kita bantu negara luar membangunkan ekosistem halal di tempat mereka, kita mahukan kerjasama dua hala yang turut memberi manfaat kepada Malaysia.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di London, sempena Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2023 anjuran MITI dan HDC yang bakal berlangsung mulai 27 hingga 28 Oktober ini.

Bertemakan ‘Peluang Halal Dalam Dunia Tanpa Sempadan, WHBC edisi kali ke-15 itu akan dianjurkan di Royal Lancaster, London dan disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

WHBC 2023 yang akan menghimpunkan lebih 300 penggiat itu, turut meninjau peluang untuk meluaskan diplomasi halal di luar negara dan mengulangi komitmen bagi memperkukuh ekosistem halal global.

Sehubungan itu, Khairul Azwan berkata HDC serius dan komited dalam pendigitalan proses pensijilan Halal Malaysia bagi memperkasa sektor halal negara.

“HDC mahu memainkan peranan mempersiapkan syarikat tempatan ini terutama di peringkat pra kelulusan sebelum sijil mereka dikeluarkan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan selepas mereka memperoleh pensijilan terbabit,” katanya.

Katanya, semua strategi diambil HDC bertujuan memastikan sektor halal Malaysia mendapat manfaat daripada pasaran halal dunia yang dianggarkan meningkatkan kepada AS$5 trilion pada 2030.

 

PALING POPULAR

To Top