Seorang pelajar Diploma Pengurusan Sukan Kolej Poly-Tech MARA Bangi telah dinobatkan sebagai 10 individu terbaik dunia bagi sukan bola sepak gaya bebas (freestyle football).
Anak kelahiran Kampung Manal, Tanah Merah, Kelantan, Zulhilmi Zuaswa, 20, telah berjaya mengharumkan nama Malaysia selepas menyertai pertandingan peringkat dunia di Republich Czech pada Ogos lalu.
Lebih membanggakan lagi, bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama Al-Ihsan Tanah Merah itu juga telah dinobatkan sebagai pemain 32 terbaik di dunia mengatasi ribuan lagi pemain bola sepak gaya bebas.
Zulhilmi berkata minat terhadap sukan itu bermula ketika berusia 13 tahun, mempelajari sukan itu sendiri menerusi YouTube.
“Dari situlah saya menemui bola sepak gaya bebas ini, dan mula belajar sendiri melalui media sosial sehinggalah pandai,” katanya.
Zulhilmi yang asalnya merupakan seorang pemain bola sepak, telah mengambil keputusan untuk berundur selepas mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kaki.
Dilaporkan, bakat Zulhilmi mula ditemui pada 2018 ketika usianya 15 tahun apabila berjaya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan yang diadakan di Kuala Lumpur.
Beliau turut menjuarai Redbull Qualifier Malaysia Freestyle Football Championship pada tahun yang sama, yang seterusnya membawa kepada beliau mewakili negara di pertandingan peringkat dunia di Poland.
“Cita-cita saya adalah untuk mengembangkan lagi sukan ini kerana di Malaysia hanya ada sekitar 200 pemain bola sepak bebas.
Zulhilmi yang sedang menjalani latihan industri di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan berkata, “sebagai anak jati Kelantan, sudah tentu menjadi harapan saya untuk melihat lebih ramai bakat dari negeri ini yang bakal dicungkil.”