Umum

SSM siasat dua syarikat pelaburan tanaman sawit

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menerima beberapa laporan dan aduan berhubung insiden pembayaran pulangan pelaburan dalam bentuk dividen oleh syarikat East West One Consortium Berhad (EWOCB) serta East West Horizon Plantation Berhad (EWHPB) yang diuruskan East West One Group (EWOG).

SSM menyatakan mengikut rekod, EWOCB dan EWHPB merupakan syarikat-syarikat yang menawarkan skim kepentingan berbentuk pelaburan kongsi tani berkaitan penanaman kelapa sawit.

“Skim-skim kepentingan ini merupakan skim kepentingan yang berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 (ASK 2016) yang dikawalselia oleh SSM” katanya dalam kenyataan pada hari Ahad.

Tambahnya, “dari bulan April hingga September 2023, SSM telah menerima 46 aduan berkaitan syarikat-syarikat ini.”

SSM telah membuka kertas siasatan pada 25 September 2023 dan siasatan sedang dijalankan di bawah peruntukan ASK 2016 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Lanjutan aduan yang diterima, SSM telah juga melakukan pemeriksaan fizikal ke atas pejabat pengurusan skim-skim ini serta lokasi penanaman kelapa sawit bagi meneliti isu yang dibangkitkan.

Katanya, “menerusi pemeriksaan yang dijalankan, SSM telah mengeluarkan empat kompaun kepada dua orang pengarah syarikat, seorang pengurus dan syarikat pengurusan East West Horizon Plantation Berhad di bawah seksyen 46(1) ASK 2016 dengan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM1 juta pada 25 September 2023 lalu.”

SSM sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir dengan mengambil tindakan pematuhan, siasatan dan pendakwaan terhadap entiti atau individu yang didapati melanggar peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka berhubung tanggungjawab serta etika perniagaan.

SSM memandang serius dakwaan seperti ini kerana ia menjejaskan amalan tadbir urus korporat baik yang seharusnya dipraktikkan oleh pengarah-pengarah syarikat.

Pelabur yang terkesan dengan skim-skim kepentingan berdaftar yang diuruskan oleh EWOG dan mempunyai maklumat untuk

membantu siasatan, disarankan tampil untuk membuat aduan melalui emel ke [email protected] atau hubungi 03-22994400.

 

PALING POPULAR

To Top