Buletin

132 lagi kematian dilapor, 26 BID

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 132 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 27,113 kes, iaitu 1.17 peratus daripada 2,313,727 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, sejumlah 26 daripada 132 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak kerana ada di antara kes meninggal dunia itu berlaku beberapa minggu lalu.

Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik itu, memakan masa.

Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, sejumlah 64.3 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 dan 74.4 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

 

PALING POPULAR

To Top