Buletin

1,846 mangsa banjir di Pahang

Seramai 1,846 mangsa banjir daripada 562 keluarga masih berada di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Menerusi laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, ia membabitkan mangsa banjir di Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan, Rompin, Bera dan Raub.

Sementara itu, empat sungai di Pahang masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, masing-masing dua di Bera dan Pekan.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai terbabit ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera yang merekodkan 32.01 meter (m) berbanding paras bahaya 30.50 m.

Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera merekodkan 26.43 m berbanding paras bahaya 26 m, diikuti Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan mencatat bacaan 16.43 m berbanding paras bahaya 14.90 m, manakala Sungai Pahang Tua di Rumah Pam Pahang Tua, Pekan merekodkan 10.65 m berbanding paras bahaya 9 m.

Sementara itu, tiga sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran manakala paras waspada pula membabitkan lapan sungai.

PALING POPULAR

To Top