Umum

4 Ahli Parlimen mohon tukar tempat duduk

Gambar Parlimen

4 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon agar ditukar tempat duduk mereka di Dewan Rakyat.

4 Ahli Parlimen itu adalah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Menurut laporan media, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, surat permohonan berhubung perkara berkenaan diterima pada hari Khamis dan akan dipertimbangkan untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, tindakan wakil rakyat pembangkang terlibat yang menyatakan sokongan kepada kerajaan tidak menjejaskan kerusi bagi kawasan itu, sambil berkata “tidak beri makna apa-apa… ada yang sokong secara diam-diam, ataupun seperti sekarang ada yang buat secara terbuka.”

Beliau turut menerangkan bahawa Akta Anti Lompat Parti tidak menyekat mana-mana Ahli Parlimen untuk memberi sokongan, menyebabkan kerusi tidak hilang.

“Cuma ada yang memohon untuk pindah kerusi (tempat duduk) kerana tak selesa duduk dengan teman yang lama, itu hak saya dan saya boleh ubah. Keputusan belum dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Johari berkata, beliau akan melihat aturan dalam Dewan Rakyat sebelum membuat keputusan dengan mengatur pertemuan tidak rasmi selepas Deepavali.

Sementara itu, Johari berkata kedudukan Syed Saddiq di Dewan Rakyat tidak berubah kerana masih perlu melalui proses rayuan setelah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan pada hari Khamis.

PALING POPULAR

To Top