Umum

Akaun disita, Ahmad Zahid cari sumber lain untuk masjid – Saks

Seorang pengurus projek memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa mencari sumber lain untuk menampung kos pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak selepas akaun bank Yayasan Akalbudi (YAB) dibekukan.

Saksi pembelaan kesembilan, Ramli Ghani berkata demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik YAB membabitkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Ketika sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Ramli berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memintanya agar projek berkenaan diteruskan meskipun tanpa dana daripada YAB.

Katanya, kos pembinaan masjid berkenaan, sejak akaun YAB disita hingga siap sepenuhnya April lalu, ialah sebanyak RM43.7 juta.

Sementara itu, saksi berusia 56 tahun ini juga bersetuju bahawa sumber kewangan utama masjid tersebut adalah daripada YAB manakala pemaju ialah Yayasan Al Falah.

Mohd Dusuki: Bagi pembinaan masjid ini, adakah encik tahu, terdapat perjanjian antara YAB, Yayasan Al Falah, atau Syarikat Noble Energy Construction Sdn Bhd (kontraktor pembinaan Masjid Tuminah Hamidi, syarikat Ramli bekerja)?

Ramli: Adakah tuan maksudkan surat tawaran? Ia dikatakan ikatan kontrak yang mempunyai satu surat perjanjian dalam bentuk tawaran antara tiga pihak itu, kemudian ia disediakan oleh pihak firma guaman, Lewis & Co.

Mohd Dusuki: YAB tidak termasuk dalam perjanjian ini?

Ramli: Tidak.

Mohd Dusuki: Kenapa?

Ramli: Di luar pengetahuan saya.

Pada Isnin, saksi ini memberitahu mahkamah bahawa, tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita akaun bank YAB menyebabkan pembayaran Masjid Tuminah Hamidi kepada pihak kontraktor, tertangguh selama beberapa bulan.

Menurutnya, proses pembinaan masjid telah bermula pada Julai 2017 namun dihentikan pada pertengahan tahun 2018 kerana siasatan SPRM.

Sementara itu, saksi pembelaan ke-11, Ketua Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Kamarulzaman Sampol berkata, Ahmad Zahid telah membuat pelbagai sumbangan amal dan kebajikan kepada penduduk di kawasan Parlimen Bagan Datuk.

Menurutnya, antara sumbangan peribadi yang dibuat ialah membaik pulih Sekolah Agama Rakyat Sungai Keli, kemudian dilaksanakan oleh kontraktor, Allahyarham Sanusi dengan kos hampir RM100,000.

“Sebelum ini, sekolah tersebut berada dalam keadaan yang sangat uzur dan tiada kerja pemulihan sehingga dibantu oleh Ahmad Zahid,” katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Semasa soal balas, saksi ini tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Dusuki yang menyatakan bahawa, beliau hanya mengetahui Ahmad Zahid memberi sumbangan kepada sekolah tersebut, hanya selepas dimaklumkan oleh Allahyarham Sanusi.

Menurutnya, penglibatan Ahmad Zahid dalam pembangunan sekolah itu diketahui memandangkan dia merupakan bekas pelajar sekolah terbabit, selain kerja-kerja pembaikan dilakukan sehingga ke hari ini.

Ramli dan Kamarulzaman memberi keterangan bagi pihak Ahmad Zahid, 70, yang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Prosiding di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung jam 2.30 petang dengan pembelaan akan memanggil saksi baharu ke-12. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top