Umum

Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

Pihak pendakwaan bagi kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa mereka mahu menghentikan prosiding berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ini akan memberi kesan kepada Timbalan Perdana Menteri itu supaya dilepas tanpa dibebaskan atas semua pertuduhan (DNAA).

Menurutnya, pendakwaan mengemukakan 11 alasan untuk menghentikan prosiding antaranya, dua representasi yang dikemukakan tertuduh telah menyentuh isu siasatan sebelum, semasa dan selepas Ahmad Zahid dituduh di mahkamah.

Beliau berkata, ia dikatakan telah dibuat secara terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).

Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Prosiding dihentikan sementara Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan berhubung permohonan tersebut dibuat.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top