Umum

5 tema utama pelan tangani impak COVID-19 – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggariskan lima tema utama dalam merangka proses pemulihan menangani impak COVID-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia termasuk memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik selain bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.

“Tema-tema yang digariskan ini sudah tentu tidak begitu terperinci, sebab itu saya ingin menjemput para pemimpin industri, penggerak masyarakat sivil, ahli politik, pemimpin masyarakat dan golongan muda untuk berkongsi idea, supaya kita sama-sama dapat merangka pemulihan yang sejajar dengan kepentingan negara

“Di samping itu, cadangan dan input dasar pemulihan yang diterima melalui sesi libat urus dengan pemegang taruh akan juga dimasukkan ke dalam dasar-dasar pembangunan utama negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau turut menggesa semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam perang melawan COVID-19 dan membina semula negara tercinta.

“Kita perlu mengetepikan segala perbezaan dan mencari titik persamaan. Kita mesti bersama-sama menyelamatkan nyawa, ekonomi dan negara.

“Malaysia memerlukan anak watan untuk tampil mengembalikan kegemilangannya.

“Kita tidak mahu lagi polemik politik dan perpecahan mengganggu gugat usaha murni kita dalam memerangi pandemik dan membina semula ekonomi,” katanya.

Lima tema utama yang digariskan Muhyiddin adalah:

i) Memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik dan bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.

ii) Mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang memerlukan perhatian utama.

iii) Mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mampan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan pemulihan.

iv) Memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur perlu yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital.

v) Memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan itu diagihkan secara saksama, bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.

PALING POPULAR

To Top