Umum

Mahkamah Rayuan tolak rayuan Najib, Nazifuddin

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan difailkan kedua-dua perayu (Najib dan Mohd Nazifuddin) dan tiada kekhilafan dalam penghakiman oleh kedua-dua hakim Mahkamah Tinggi yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.

“Oleh itu, rayuan kedua-dua perayu ditolak dengan kos RM10,000 setiap seorang,” kata Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Supang Lian pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Bagaimanapun, Najib dan Mohd Nazifuddin tidak perlu lagi membayar jumlah cukai itu berikutan panel berkenaan membenarkan permohonan kedua-dua perayu bagi penangguhan sementara pelaksanaan keputusan hari ini.

Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berasingan yang membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Hakim Abdul Karim dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat bahawa Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak melanggari Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah mempunyai kuasa kehakiman untuk mendengar dan memutuskan pertikaian di bawah Seksyen 106 walaupun dalam keadaan beberapa perkara tidak dibenarkan untuk dibangkitkan bagi pertimbangan mahkamah.

Seksyen 106 (3) menyatakan mahkamah tidak perlu melayan sebarang rayuan bahawa jumlah cukai yang ingin didapatkan kerajaan antaranya sebagai berlebihan, dinilai secara tidak tepat, di bawah rayuan atau dinaikkan secara tidak tepat.

Berkenaan dengan isu tidak berperlembagaan mengikut Seksyen 106 (3) dengan Perkara 121, beliau berkata, mahkamah berpendapat bahawa dalam keadaan mentafsir undang-undang berkenaan percukaian hendaklah dibuat berpandukan kepada prinsip-prinsip perundangan yang khusus.

“Kuasa untuk mentafsir cukai hendaklah mengalir dengannya bersama dengan kuasa untuk memungut cukai tersebut. Akta cukai pendapatan telah memperuntukkan skema tersendiri bagaimana taksiran dan pungutan harus dibuat.

“Dalam perundangan percukaian, setelah taksiran dibuat dan notis diserahkan, cukai tersebut haruslah dibayar dalam masa yang diperuntukkan walaupun pembayar cukai membuat rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, dan kerajaan melalui Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri boleh meneruskan tindakan pungutan cukai pendapatan melalui Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon penangguhan sementara pelaksanaan keputusan hari ini sementara pihaknya menfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Abdul Karim yang membenarkan permohonan penangguhan itu berkata, kedua-dua perayu perlu memasukkan notis rayuan selewat-lewatnya Selasa ini dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penggantungan sementara itu luput.

Najib dan Mohd Nazifuddin perlu membayar cukai berkenaan kepada LHDN selepas Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dimasukkan terhadap mereka.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lalu oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Mohd Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi. – BERNAMA

PALING POPULAR

To Top