Umum

577,300 penganggur dilaporkan pada Ogos 2023

Gambar Hiasan

Jabatan Perangkaan melaporkan masih terdapat seramai 462,100 penganggur aktif pada Ogos 2023.

Penganggur aktif adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, iaitu merangkumi 80 peratus daripada jumlah penganggur yang direkodkan pada bulan itu, berjumlah 577,300 orang, dengan kadar pe­ngangguran 3.4 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada 3 bulan berjumlah 61.4 peratus, manakala mereka yang berada dalam pe­ngangguran jangka panjang melebihi setahun mencatatkan 6.2 peratus.

Sementara itu, penganggur tidak aktif, iaitu mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, berjumlah 115,200 orang, peningkatan sebanyak 0.6 peratus pada Ogos lalu.

Menurutnya, kadar pengangguran bagi belia ber­umur 15 hingga 24 tahun terus menurun sebanyak 0.1 mata pera­tusan kepada 10.8 peratus, mencatatkan bilangan 309,200 orang.

Sementara kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.8 peratus seperti pada bulan sebelumnya, melibatkan 439,600 orang.

Mohd Uzir menambah, “berdasarkan prestasi petunjuk Indeks Pelopor Malaysia bagi tempoh enam bulan, prospek ekonomi jangka pendek negara dijangka bertambah baik secara sederhana, memandangkan pros­pek ekonomi global yang tidak menentu,”

Jelasnya, “permintaan domestik yang stabil, peningkatan aktiviti pelancongan, sektor perkhidmatan yang berkembang dan dasar ekonomi yang menyokong dijang­ka akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua tahun 2023,”

 

“Kedudukan pasaran buruh negara dijangka bertumbuh sederhana pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya lagi.

PALING POPULAR

To Top