Umum

7 amalan yang boleh bantu anda ingat “si comel” berada di dalam kereta

Sering dilaporkan tentang insiden mendukacitakan dimana anak ditemukan ditinggalkan di dalam kereta selepas beberapa jam.

Mimpi ngeri yang tidak disengajakan itu mungkin disebabkan ibu bapa atau penjaga sedang bingung memikirkan masalah yang dihadapi ataupun leka mengejar masa ke destinasi.

Untuk elakkan insiden itu daripada berlaku, para ibu bapa dan penjaga boleh cuba mengamalkan langkah-langkah ini agar tidak mudah terlupa dengan anak yang dibawa dalam kereta.

1) Letak anak di belakang tempat duduk penumpang hadapan
Belakang kerusi pemandu merupakan blindspot bagi pemandu, dan mungkin menyebabkan terlepas pandang anak yang ada di belakang.

Dengan kedudukan anak yang bertentangan dengan pemandu, ia akan meletakkan anak dalam ruang pandangan.

2) Amalkan tabiat periksa kabin kenderaan sebelum mengunci kereta
Sentiasa jadikan tabiat untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang) sebelum mengunci kenderaan anda.

Ia bukan sahaja boleh mengelakkan daripada insiden ngeri itu, ia juga mampu membantu kita ingat sekiranya terdapat barang berharga lain yang terbiar.

3) Letak permainan anak di tempat duduk penumpang hadapan
Dengan meninggalkan permainan anak di kerusi sebelah, ia akan mengingatkan kita bahawa anak berada di belakang.

Pastikan ada barangan anak yang diletakkan itu sesuatu yang besar dan terang supaya ia tidak dilepas pandang. Tempatkan permainan tersebut di lokasi yang mudah dilihat agar dapat mengingatkan anda.

4) Letak beg susu atau beg pakaian di bahagian depan kenderaan
Konsepnya sama seperti tip sebelum ini. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di belakang.

 

5) Letakkan barang yang diperlukan di destinasi bersama anak anda
Letakkan barang keperluan seperti beg kerja, tag kerja ataupun kunci pejabat bersama anak dibelakang.

Bagi para ibu yang gemar menukar kasut sebelum ke pejabat, kasut kerja itu diletakkan dibelakang bersama anak.

6) Minta sesiapa untuk mengingatkan anda
Sekiranya menghantar anak ke rumah asuhan, dicadangkan meminta penjaga atau pengasuh untuk menelefon ibu bapa sekiranya anak tidak sampai dalam jangka masa kebiasaanya.

Boleh juga pesan kepada pasangan anda untuk mengingatkan anda.

7) Guna telefon untuk mengingatkan anda
Tetapkan alarm harian di telefon bimbit anda supaya ia akan berbunyi setiap hari pada masa yang ditetapkan.

Dicadangkan alarm itu dikunci pada masa yang kebiasaanya anak sampai ke destinasi.

Jadikan tabiat ini sebagai amalan harian supaya ia dapat membantu mencegah insiden yang tidak diingini berlaku.

Semoga bermanfaat.

PALING POPULAR

To Top