Umum

MIROS bangunkan prototaip sistem amaran kanak-kanak terperangkap dalam kereta

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), telah membangunkan satu prototaip sistem dinamakan ‘MyCINTA’ atau MIROS Children in Vehicle Tracking and Alerting System, yang dapat mengesan dan memberikan amaran tentang kehadiran kanak-kanak di dalam kenderaan.

Sistem tersebut dibangunkan bertujuan untuk mengesan kehadiran kanak-kanak dalam kenderaan yang dimatikan enjin dengan menggunakan sensor pergerakan, dan bunyi.

Ia seterusnya dapat memberikan makluman secara automatik kepada pemandu, pengguna sistem, serta individu kecemasan melalui panggilan telefon atau penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS).

Kandungan SMS tersebut akan menyertakan sekali koordinat lokasi kenderaan bagi memastikan kanak-kanak yang terperangkap itu segera ditemukan dan diselamatkan.

Tambahan, sistem ‘MyCINTA’itu juga akan mengaktifkan mekanisme tindak balas kecemasan pertama dengan menurunkan tingkap kenderaan secara automatik ke suatu aras tertentu untuk memastikan ada aliran udara.

Sementara itu, lampu amaran bahaya kenderaan (hazards light) akan diaktifkan automatik untuk menarik perhatian orang awam di sekeliling kenderaan.

Lokasi pemasangan komponen perkakasan (hardware) MyCINTA pada kenderaan

Hon juga akan turut dibunyikan, dan amaran berbentuk visual teks (BAHAYA/HELP) akan dipaparkan menerusi paparan lampu LED.

Secara keseluruhan, sistem MyCINTA didapati berupaya berfungsi dalam tempoh kritikal lima minit pertama untuk mengurangkan risiko kecederaan serius terhadap kanak-kanak akibat strok haba.

Berdasarkan ujian dalam dunia sebenar, MyCINTA ini dapat mengurangkan risiko kecederaan serius kepada kanak-kanak dengan tempoh tindak balas secepat 45 saat hingga tiga minit pengaktifan sepenuhnya.

Menurut pemangku Ketua Pengarha MIROS, Ir. Ts. Azhar Hamzah menjelaskan sistem prototaip MyCINTA ini memiliki potensi besar untuk membantu menyelamatkan nyawa terutama kes kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan.

“Kami berharap agar pemain industri dan pemegang taruh lain dapat menyokong kami dalam usaha membawa inovasi MyCINTA ini ke peringkat seterusnya.

Sumber MIROS / MCAS / MyCinta

PALING POPULAR

To Top