Umum

848 mangsa terjejas di enam daerah di Selangor

Jumlah mangsa banjir di Selangor merekodkan seramai 848 mangsa membabitkan 208 keluarga setakat jam 8 pagi Khamis.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, sehingga kini sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam daerah di negeri ini melibatkan Petaling, Klang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Sepang.

Menurutnya, daerah Petaling mencatatkan pemindahan tertinggi apabila merekodkan seramai 433 mangsa daripada 104 keluarga dipindahkan di dua PPS.

“Dua PPS dibuka iaitu di Masjid Putra Height yang mencatatkan pemindahan seramai 227 mangsa daripada 51 keluarga dan di Dewan Camelia Putra Height pula seramai 210 mangsa daripada 53 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu memberitahu, sebanyak dua PPS di Klang dibuka membabitkan seramai 293 mangsa daripada 64 keluarga.

Ujar kenyataan itu, seramai 195 mangsa daripada 49 keluarga dipindahkan ke PPS Masjid Kampung Johan Setia dan seramai 58 mangsa daripada 15 keluarga lagi di PPS Balai MPKK Kampung Jalan Kebun Batu 7 Klang.

Kenyataan itu memaklumkan, dua PPS lagi dibuka di daerah Hulu Langat yang mencatatkan seramai 29 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih, bagaimanapun jumlah mangsa dan keluarga di PPS Balai Raya Bangi Lama masih sedang dalam kemas kini.

Kenyataan itu turut memberitahu, dua PPS dibuka di daerah Sabak Bernam iaitu di PPS Dewan Bagan Nakhoda Omar dan PPS Simpang Lima.

“PPS Dewan Bagan Nakhoda Omar pula menempatkan seramai tujuh mangsa membabitkan dua keluarga, manakala PPS Simpang Lima pula seramai enam mangsa daripada satu keluarga,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, sebuah PPS dibuka di daerah Kuala Selangor iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram membabitkan 116 mangsa daripada 30 keluarga.

Sementara di daerah Sepang pula sebuah PPS dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Gemilang, Taman Gemilang.

“Bagaimanapun, jumlah mangsa dan keluarga di PPS itu sedang dikemas kini,” kata kenyataan itu. –Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top