Umum

95,000 pelajar Terengganu divaksin sebelum Oktober

MARANG: Seramai 95,000 pelajar di negeri ini bakal menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) tidak lama lagi, sebagai persediaan pembukaan sesi persekolahan pada bulan depan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong, berkata, pihaknya berharap program PICK untuk golongan pelajar menengah berusia 13 hingga 17 tahun itu dapat dilaksanakan sebelum persekolahan bermula.

“Kita akan mulakan proses berkenaan sebaik saja menerima garis panduan pelaksanaan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya selepas meninjau proses vaksinasi secara walk-in di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV), Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah petugas, tempat dan bekalan vaksin bagi pelajar sekolah itu mencukupi dan berkemampuan untuk melaksanakan program berkenaan.

“JKNT kini hanya menunggu garis panduan pelaksanaan saja dan berharap program berkenaan dapat dilaksanakan sebelum sesi persekolahan bermula demi memberi perlindungan kepada pelajar,” katanya.

Mengulas program vaksinasi secara walk- in, Dr Kasemani berkata, proses berkenaan akan dilaksanakan di semua 14 PPV seluruh negeri bermula hari ini dengan 100 dos vaksin disediakan di setiap PPV.

PALING POPULAR

To Top