Umum

Kerajaan Pahang tanggung urusan penghantaran jenazah – MB

Kerajaan Pahang akan menanggung kesemua kos penghantaran jenazah yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia termasuk kos-kos lain yang mungkin akan terlibat kemudian.

Menurutnya, kali terakhir beliau berjumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun ialah ketika makan tengah hari pada Mesyuarat Pembangunan Negeri di Langkawi.

“Tidak ada perubahan yang ketara, namun semalam saya nampak Allahyarham banyak sikit bercakap dan nampak terlalu aktif dalam mesyuarat.

“Selalunya bercakap tapi tak banyak, waktu itu saya tak perasaan tapi bila dah berlaku (kemalangan) baru saya dapat kaitkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, pada Khamis.

Wan Rosdy yang terkejut mendengar berita pemergian itu berkata, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang dinamik, rajin dan progresif.

“Beliau selalu membawa permasalahan dalam mesyuarat dan terbaru beliau membangkitkan isu projek perumahan yang terbengkalai di Pahang,” jelasnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, keberadaan arwah yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang itu dalam pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas adalah bagi tujuan rasmi kerajaan Negeri Pahang.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top