Umum

Jangan ambil mudah saman ekor

Orang ramai dinasihatkan memandu dengan berhemah dan mengikuti had kelajuan yang ditetapkan kerana penguatkuasaan saman tembak laju atau saman ekor telah diperketatkan bermula Isnin.

Individu atau pemilik kenderaan diharapkan supaya tidak memandang ringan jika menerima saman yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Ini kerana menurut peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz, tindakan mengabaikan saman itu boleh membawa kepada tindakan yang lebih tegas diambil kepada individu terlibat.

Jelasnya, apabila saman itu dihantar ke alamat yang didaftarkan, pemilik kenderaan masih mempunyai hak untuk memberikan penjelasan tentang kesalahan.

Ia termasuklah jika kenderaan mereka itu dipandu oleh individu lain atau nombor kenderaan dipalsukan.

Tambah Muhammad Akram, secara asasnya saman ekor merupakan satu proses di mana pemilik kenderaan diminta memberikan butiran atau maklumat yang relevan berkenaan kesalahan lalu lintas yang dilakukan.

Pada Selasa, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar memaklumkan, operasi dilaksanakan itu bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Susulan itu katanya, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman serta notis saman K170A yang akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.

Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, pemilik kenderaan yang ingkar atau tidak tampil memberikan penjelasan dalam tempoh yang diberikan juga berkemungkinan dikenakan waran tangkap supaya hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, terdapat juga pengguna kurang bersetuju dengan tindakan saman ekor tersebut kerana ia akan menyukarkan segelintir pemandu yang sedang mengalami kesulitan terutama melibatkan hal kecemasan.

Tetapi, usaha pihak berkuasa tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kemalangan.

Jika berlaku situasi kecemasan, kenderaan yang dipandu dengan kelajuan yang bersesuaian atau mengikut had kelajuan yang ditetapkan mudah dikawal.

Mahu ataupun tidak, ia merupakan salah satu cara bagi melindungi keselamatan diri, penumpang dan pengguna lain.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top