Umum

Wee Ka Siong dipilih semula sebagai Presiden MCA

Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong teruskan menerajui pucuk kepimpinan parti MCA setelah mengalahkan pesaingnya Datuk Tan Chong Seng.

Ka Siong berjanji akan melakukan yang terbaik dalam meningkatkan reputasi dan mengembalikan kegemilangan MCA setelah berjaya mempertahankan jawatan Presiden MCA untuk penggal kedua.

“Saya berjanji, dengan barisan pucuk pimpinan MCA yang baharu, kami akan melakukan yang terbaik bagi membantu meningkatkan reputasi dan mengembalikan kegemilangan parti.”

“Cabaran kita (MCA) besar dan banyak lagi liku politik yang perlu dilalui tetapi saya yakin dengan pasukan baharu yang dibentuk, kita yakin merencanakan strategi dan juga pelbagai program untuk memastikan parti ini boleh melakukan sesuatu yang seiring dengan peredaran zaman,” katanya di Wisma MCA malam tadi.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berjaya memperoleh 569 undi, mengalahkan pesaingnya yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat, Datuk Tan Chong Seng yang hanya memperoleh 11 undi.

Ka Siong berkata, kemenangan ini merupakan penghargaan yang sangat bermakna kepada dirinya sekaligus merupakan komitmen yang perlu digalas bersama pasukan yang baharu.

“Ini merupakan komitmen buat saya dan juga pasukan saya. Terima kasih kepada semua perwakilan. Bagi mereka yang berjaya, tahniah saya ucapkan. Kita perlu bekerja kuat demi parti,” katanya.

Pada pemilihan MCA kali ini, Dato’ Dr. Mah Hang Soon turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Jawatan Naib Presiden dimenangi oleh Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (Ahli Parlimen Tanjung Piai), Datuk Lim Ban Hong (ADUN Klebang), Datuk Tan Teik Cheng dan Datuk Lawrence Low Ah Keong.

Bagi jawatan sayap parti, turut menyaksi barisan kepimpinan yang baharu apabila Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor merangkap ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon berjaya dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA. Manakala, Wong You Fong pula dipilih sebagai Ketua Wanita MCA.

 

 

Sumber MCA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top