Umum

Dua penyokong ditahan ketika perlawanan Perak FC, JDT

Polis telah menahan dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan itu bagaimanapun hanya melibatkan kesalahan kecil tanpa sebarang isu rusuhan atau pergaduhan.

“Tangkapan hanya melibatkan dua individu sahaja dan itu pun melibatkan kesalahan kecil.

“Tindakan seterusnya telah diambil bagi tujuan siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sebaik tamat perlawanan, dua lelaki berkenaan dibawa keluar polis dari stadium dalam keadaan tangan bergari.

Perlawanan di hadapan 21,613 penonton itu berkesudahan dengan JDT mengatasi tuan rumah dengan jaringan 4-1.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, aksi perlawanan berjalan dalam keadaan terkawal baik di dalam mahupun luar stadium tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Penyokong kedua-dua pasukan telah memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam perlawanan itu, seramai 397 pegawai dan anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah ditugaskan bagi mengawal ketat keadaan keluar masuk pemain dan penyokong.

Untuk rekod, pada April 2014, insiden pergaduhan besar membabitkan penyokong The Bos Gaurus dan Harimau Selatan tercetus di luar pekarangan stadium dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Perak tumpas 0-1 kepada JDT di Stadium Perak

Insiden berkenaan berulang pada Ogos 2016 apabila Perak sekali lagi tumbang di laman sendiri kepada JDT dengan jaringan sama dan turut menyebabkan kecederaan menimpa seorang petugas media. – Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top