Bank Negara Malaysia (BNM) sedia mengambil sebarang langkah yang perlu untuk memastikan Ringgit diselaraskan secara teratur dan membolehkan urusan perniagaan dipermudahkan.
Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dilaporkan media berkata bank pusat menyediakan beberapa langkah pasaran yang boleh dimanfaatkan untuk merangsang ringgit sekiranya perlu.
Abdul Rasheed berkata, walaupun nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) telah mencapai paras sama seperti semasa krisis kewangan Asia, negara tidak mengalami situasi krisis berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan sistem perbankan dengan permodalan kukuh.
Menurutnya, hampir semua mata wang di dunia menyusut berbanding dolar AS, terutamanya di negara pesat membangun seperti Malaysia.
Katanya lagi, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga akan meningkat sebanyak 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.
“Kedua, kita mempunyai sistem perbankan yang kukuh, disokong oleh tahap permodalan yang tinggi dan aset yang teguh, dan mereka bersedia untuk membiayai ekonomi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di Malaysia.
“Ketiga, sektor modal kita juga amat kukuh dengan lebihan akaun modal,” katanya.
Dalam ucapannya ketika Persidangan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bertemakan ‘Journey to Zero’, Abdul Rasheed berkata berikutan pertumbuhan menerima momentum, disinflasi yang stabil, lebihan akaun semasa dan sistem perbankan yang mantap, pergerakan semasa ringgit dilihat lebih banyak dipengaruhi oleh perkembangan global.
Bagaimanapun beliau menyatakan ini tidak menggambarkan asas ekonomi kita pada masa kini yang berdaya tahan, khususnya dari segi asas ekonomi, keteguhan sektor kewangan dan hutang pasaran kewangan.