Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palsetin.
Anwar berkata, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat selaku ketua kerajaan, beliau tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.
Sebagai negara berdaulat, Malaysia akan kekal bebas dan akan terus mempertahankan kebebasan negara dan juga memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengkritik sikap berat sebelah Amerika Syarikat yang hanya mengecam Rusia berhubung isu Ukraine, tetapi bertindak menyokong Israel dalam isu pencerobohan Palestin.
Anwar berkata, sokongan Amerika Syarikat dan Eropah, membuatkan Israel menjadi terlalu angkuh dan seperti satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan bayi dilakukan sedemikian rupa, ketika hospital dan sekolah musnah dibom.
“Ia satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan manusia dan bayi, hospital dibom, sekolah dimusnahkan, ini tindakan kejam. Kita boleh lihat apabila Israel langgar (ceroboh) Palestin, mereka diam. Ini hukum apa? Ini hukum rimba,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam Selasa.
Perdana Menteri turut berkongsi penghormatan tinggi yang diberikan negara-negara Arab kepada Malaysia, atas peranan yang dimainkan dalam mengangkat isu konflik itu.
“Masa depan mereka (penduduk di Gaza) sangat malap, kemungkinan tentera Israel akan ceroboh Gaza. Keadaan sangat getir dalam beberapa minggu ini, kematian lebih ramai di bawah tangan Israel.
“Kita yakin dengan pertolongan ALLAH, namun apa yang penting kita perlu terus beri semangat dan apa jua sokongan untuk kebebasan rakyat Palestin,” katanya