Umum

PIPOC 2023 akan bincang AI, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, produk oleokimia tambah nilai tinggi

PIPOC 2023 akan bincang AI, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, produk oleokimia tambah nilai tinggi.

Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023), kongres dan pameran sawit terbesar di dunia akan membincangkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem kawalan proses kilang sawit termaju. Penggunaan teknologi AI adalah penting untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pengeluaran minyak sawit semasa kita beralih ke era Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Selain itu, PIPOC 2023, anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga akan menyediakan platform perbincangan di kalangan pakar mengenai strategi untuk menggalakkan pengurusan sisa yang komprehensif dalam industri pengilangan dan pemprosesan minyak sawit. Perbincangan ini akan merangkumi penyepaduan teknologi terkini untuk amalan mampan.

“PIPOC 2023 juga akan berkongsi pandangan tentang aspek keselamatan yang seterusnya membawa kepada tahap kualiti minyak, lemak dan produk makanan siap. Pakar juga akan membahaskan implikasi kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan minyak makan yang berbeza sebagai sebahagian daripada diet harian kita, dan bagaimana ianya berkaitan dengan gaya hidup semasa kita,” kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir.

Kongres itu juga akan memberi tumpuan khusus kepada teknologi baharu dan produk oleokimia dengan nilai tambah tinggi. Isu semasa seperti derivatif gliserol dan kepelbagaian oleokimia kepada pelekat dan bahan kimia berasaskan bio akan dibincangkan untuk meningkatkan industri oleokimia.

Di samping itu, sesi pada kongres tersebut akan meneroka penggunaan nilai tambah derivatif daripada biojisim sawit dalam pengeluaran papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) mesra alam dan nanoselulosa, yang boleh berfungsi sebagai bahan mampan untuk pelbagai aplikasi.

Selain itu, pakar akan berkongsi pandangan mereka tentang teknologi terkini dalam penukaran biojisim sawit kepada produk khusus daripada arang kepada produk karbon termaju.

“PIPOC 2023 juga akan mendalami tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pelepasan karbon. Pakar akan membincangkan pelbagai hasil sampingan sawit yang dihasilkan daripada aktiviti pengilangan dan perladangan yang berpotensi sebagai sumber produk hijau atau tenaga untuk menyahkarbonkan industri berasaskan fosil. Ini juga termasuk biodiesel, biofuel generasi kedua dan bahan api penerbangan serta prospek masa depan bahan-bahan tersebut,” tambah beliau.

Bertemakan ‘‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’’, PIPOC 2023 yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 9 November 2023 dijangka mengumpulkan lebih 100 penceramah terkenal dan 2,000 peserta dari seluruh dunia.

Kongres itu akan melibatkan empat persidangan serentak iaitu Persidangan Pertanian, Bioteknologi & Kemampanan; Persidangan Pemprosesan, Keselamatan Makanan & Pemakanan; Persidangan Hiliran dan Penambahan Nilai, dan Persidangan Ekonomi & Pemasaran Global.

PIPOC 2023 juga akan menganjurkan lawatan teknikal ke ladang sawit, kilang minyak sawit, dan kemudahan penyelidikan & pembangunan untuk para peserta. Kongres itu juga akan menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang akan mempamerkan teknologi terkini, produk dan perkhidmatan terbaru.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top