Umum

Kongres dan pameran sawit terbesar di dunia PIPOC 2023 dirasmikan oleh PM

Gambai Fail

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023), kongres dan pameran sawit terbesar di dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut hadir ke majlis perasmian adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

Sektor sawit merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit melonjak kepada RM137.89 bilion pada 2022 daripada RM108.52 bilion pada 2021. Minyak sawit Malaysia menyumbang 31 peratus daripada pasaran eksport minyak sawit dunia iaitu 51 juta tan metrik tahun lalu. Pencapaian sedemikian adalah luar biasa kerana keluasan tanaman sawit di Malaysia hanya kira-kira 5.67 juta hektar tanah, iaitu kurang daripada 2 peratus daripada jumlah keseluruhan 300 juta hektar kawasan tanaman minyak bijian.

Minyak sawit mempunyai pelbagai kegunaan dan merupakan ramuan penting dalam pelbagai produk, merangkumi minyak masak, marjerin, makanan ringan, sehinggalah kepada makanan yang diproses. Ia kaya dengan fitonutrien dan komponen berfaedah lain yang boleh mencegah kanser, menurunkan kolesterol dan anti-penuaan serta mengurangkan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit kardiovaskular, diabetes dan masalah pernafasan kronik.

Industri sawit Malaysia menghadapi pelbagai cabaran termasuk isu perdagangan, dakwaan palsu berkaitan buruh paksa, halangan perdagangan dan perubahan iklim yang menjejaskan imej serta pengeluaran dan eksport produk sawit. Walaupun begitu, Kementerian yakin isu-isu tersebut dapat ditangani sebaik mungkin.

Bersempena Kongres ini, Perdana Menteri turut melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS). Sistem ini diwujudkan untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan kawal selia kendiri, meminimakan pengawasan Kerajaan dengan ciri-ciri yang mesra pengguna. SIMS dibangunkan oleh MPOB, membolehkan pengurusan maklumat yang komprehensif, meningkatkan kecekapan industri dan menjimatkan kos.

Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah mendapat pengiktirafan global.

Antara pengiktrirafan yang telah diperolehi adalah seperti penerimaan di bawah Kod Perolehan Mampan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik. Selain itu, Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 turut mempromosikan MSPO dengan membenarkan pembekalan eksklusif roti yang dirumus oleh Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM).

PIPOC 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November 2023 ini dianjurkan oleh MPOB. Kongres ini menghimpunkan lebih daripada 100 penceramah terkemuka dan sekitar 2,000 peserta dari seluruh dunia sebagai platform berkongsi pandangan tentang trend semasa, cabaran, peluang dan teknologi terkini industri sawit.

Bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’, PIPOC 2023 melibatkan empat persidangan serentak iaitu Persidangan Pertanian, Bioteknologi & Kemampanan; Persidangan Pemprosesan, Keselamatan Makanan & Pemakanan; Persidangan Hiliran & Penambahan Nilai; dan Persidangan Ekonomi & Pemasaran Global.

Kongres ini juga menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang memaparkan kemajuan teknologi baharu industri, peralatan dan produk terkini.

Penganjuran Kongres ini diharap dapat memanfaatkan para pemain industri di sepanjang rantaian sektor sawit dalam usaha Kementerian memartabatkan industri ini di mata dunia dan menangani cabaran semasa.

PALING POPULAR

To Top