Umum

RM30 Juta Diperuntuk Bantu Media Hadapi Cabaran AI dan Digital

Gambar Facebook

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada industri media Malaysia bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan digital dan kebangkitan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Peruntukan ini disifatkan sebagai yang terbesar pernah diberikan kepada industri media tempatan, dan akan digunakan untuk latihan, pembangunan serta pendedahan teknologi kepada wartawan muda, supaya profesion kewartawanan kekal relevan dan beretika dalam era digital.

> “Ini langkah awal untuk memastikan dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam perubahan AI, sambil mengekalkan keseimbangan antara teknologi dan etika,” kata Anwar dalam ucapannya sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) di WTCKL.

 

Projek Sigma & Usaha Kelestarian Media

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menambah bahawa peruntukan ini merupakan lanjutan kepada Projek Sigma, sebuah kerjasama dengan Google yang telah membantu lebih 30 organisasi media menjana pendapatan baharu.

> “Projek ini dinamakan ‘Sigma’ kerana ia dekat dengan generasi muda. Tujuannya ialah untuk membantu media memahami cara golongan muda berinteraksi dengan kandungan,” kata Fahmi.

Beliau menjelaskan, peruntukan tambahan ini penting untuk memastikan media tempatan dapat mencapai kelestarian kewangan jangka panjang.

Media Perlu Beretika & Elak Reka Naratif

Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan pengamal media agar tidak terlibat dalam budaya “manufacturing dissent” – iaitu penciptaan naratif berunsur kebencian atau fitnah untuk kepentingan tertentu.

Beliau menegaskan bahawa kebebasan media adalah penting dalam demokrasi, namun kerajaan tidak akan bertoleransi terhadap manipulasi fakta atau persepsi semata-mata untuk menghina pihak tertentu.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top