Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.50 peratus.
Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat selama dua hari bermula semalam.
“Berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif terus kukuh, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari. Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil,” memetik kenyataan yang dikeluarkan BNM, di simi, pada Khamis.
Menerusi kenyataan tersebut, bank pusat itu berkata ekonomi global yang terus berkembang meski pun pada kadar sederhana,dilihat terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.
“Tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.
“Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.
“Khususnya, pelarasan kadar faedah AS yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh. Hal ini telah menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit,” katanya.
Pada masa hadapan, BNM berkata pertumbuhan global dijangka menghadapi cabaran daripada kesan dasar monetari yang diperketat dalam kebanyakan ekonomi serta langkah-langkah pengurusan pandemik di China.
Malah, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk tekanan kos yang tinggi, kemungkinan berlakunya krisis tenaga di Eropah dan keadaan pasaran kewangan menjadi ketat secara mendadak.
Mengulas berkenaan inflasi, BNM berkata inflasi keseluruhan yang berpurata pada 2.8 peratus diunjur mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022 sebelum menurun selepas itu.
“Hal ini disebabkan oleh kesan asas yang semakin luput dan juga sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin menurun.
“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada tahun 2022, dengan beberapa tanda wujudnya tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi,” memetik kenyataan itu.
Sumber: Astro Awani