Umum

Selepas sedar hilang sokongan, pemimpin PH kini ugut saman pula

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) memulakan fasa baharu kempen mereka setelah apa yang dilakukan untuk memikat pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), gagal, sebaliknya semakin hilang sokongan.

Dengan tempoh kempen tinggal sehari sahaja lagi sebelum lebih 21.17 juta pengundi keluar membuat pilihan Sabtu ini, 19 November, pemimpin PH kini mula membuat pelbagai ugutan, termasuk terhadap pegawai kerajaan dan pemimpin parti lawan.

Pemimpin utama PH, antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP Lim Guan Eng; Naib Presiden AMANAH Adly Zahari; dan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, kini menggunakan ugutan untuk menyaman pemimpin parti lawan yang membuat tuduhan terhadap mereka.

Yang peliknya, mereka sebaliknya boleh pula membuat tuduhan tidak berasas dan tanpa bukti terhadap pemimpin parti lawan. Tindakan ini menyerlahkan wajah sebenar mereka dan parti yang diwakili.

Contohnya, Anwar telah menghantar surat tuntutan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kerana didakwa menyindirnya apabila bercakap mengenai isu akhlak dan moral Presiden PKR itu.

Muhammad Sanusi ketika Ceramah Kempen PRU15 sempena Jelajah PN BEST Tambun menegaskan Anwar tidak boleh dimenangkan dan dilantik menjadi Perdana Menteri atas rekod kesalahan moral.

“Dia duk angan-angan nak jadi Perdana Menteri lama sangat dah. Bukan tak kesian tuan-tuan, kesian! Tapi dia tak boleh! Tak boleh (dilantik)! Nak banding (Anwar) dengan Tan Sri Muhyiddin, dua-dua ni kena pecat (daripada UMNO).

“Tan Sri Muhyiddin dipecat oleh UMNO zaman Najib Razak kerana lawan kes 1MDB. (Tetapi) Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO sebagai Timbalan Presiden dan juga Timbalan Perdana Menteri kerana isu moral.

“Dia bukan lawan kes penyelewengan, bukan… dia lawan kes…,” kata Muhammad Sanusi merujuk kepada beberapa kes mahkamah melibatkan moral Anwar bermula 1998 hingga 2015 lalu.

Logiknya apa yang dikatakan Muhammad Sanusi itu ialah rekod Anwar yang juga Pengerusi PH kali pertama dipenjarakan selama enam tahun pada 14 April 1999 setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati dia bersalah atas empat tuduhan rasuah dan berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksualnya.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, pada 2 September 1998 memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sehari kemudian UMNO juga memecat Anwar daripada jawatan timbalan presiden dan ahli parti, atas asalah salah guna kuasa.

Pada 2008 bekas pembantu Anwar, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa dia diliwat di sebuah kondominium di Damansara. Laporan itu dibuat dua hari selepas kejadian itu didakwa berlaku.

Pada 10 Februari 2015 Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, berkaitan kes liwat melibatkan Mohamad Saiful.

Ini merupakan kes liwat kedua terhadap Anwar. Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, Kuala Lumpur pada tahun 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Pada 2 September 2004, Anwar dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, mengetepikan hukuman penjara ke atas beliau atas tuduhan liwat, dengan keputusan majoriti 2-1.

Bagaimanapun, Abdul Hamid, yang menulis penghakiman berkata hakim mendapati Anwar dan tertuduh bersama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja “terlibat dalam kegiatan homoseksual” dan hakim-hakim lebih cenderung untuk mempercayai bahawa liwat yang didakwa itu memang berlaku.

Pada 16 Mei 2018 lalu setelah PH berjaya memerintah negara, Anwar mendapat pengampunan diraja bagi kes ‘liwat II’. Namun, Muhammad Sanusi juga mempertikaikan pengampunan itu kerana beliau sebagai ahli jawatankuasa pengampunan tidak pernah dipanggil untuk membincangkan pengampunan terhadap pengerusi PH itu.

Semua ini adalah rekod yang terdapat dalam mahkamah dan Jabatan Penjara Malaysia.

Selain itu, beberapa pemimpin tertinggi PH turut membuat ugutan mengambil tindakan terhadap undang-undang kepada pemimpin parti lawan yang membuat tuduhan dan dakwaan terhadap mereka.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP berkata dia memulakan tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana memfitnah berhubung kenyataan sabotaj agensi Bumiputera – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

Guan Eng berkata sehingga sekarang Azmin gagal mengemukakan bukti dia mensabotaj agensi Bumiputera itu. Namun, pada masa sama Guan Eng juga pernah membuat beberapa tuduhan tanpa bukti terhadap pemimpin parti lain.

Demikian juga tuduhan yang dibuat oleh Rafizi dan Adly terhadap pemimpin parti lawan, yang tidak dikemukakan bukti kukuh, sebaliknya hanya mahu menimbulkan persepsi jahat bagi memikat sokongan pengundi.

Demikianlah keadaan pemimpin Pakatan Harapan yang sekarang ini – sehari menjelang hari pengundian – semakin menggelabah setelah mendapati rakyat mula menyedari manifesto dan kata-kata mereka ketika kempen PRU-15, tidak boleh dipercayai.

Sebaliknya, serangan pemimpin PH yang menjurus kepada kepemimpinan Perikatan Nasional sekarang ini dilakukan setelah menyedari sokongan kepada parti dipimpin Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, semakin mendapat sambutan rakyat.

Bukan sahaja pemimpin PH yang melihat gelombang besar sokongan kepada Perikatan Nasional dari Utara ke Selatan, malah pemimpin Barisan Nasional, juga sedar perkara itu.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top