Penyandang kerusi DUN Ampangan, Rafie Abdul Malek yang digugurkan daripada mewakili PKR kecewa apabila digelar pengkhianat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Rafie yang bertanding atas tiket bebas pada PRN di kerusi itu tidak berhasrat berbalah dengan Anwar dan memohon mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya memanggil seseorang itu pengkhianat.
“Saya ingin menasihatkan Anwar untuk menghormati proses demokrasi dalam negara yang membenarkan untuk saya bertanding,” katanya pada sidang media di Seremban 2.
Semalam, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerusi Ampangan seperti kerusi Hulu Kelang di Selangor, adalah medan pertempuran penting bagi gabungan itu kerana bakal menjadi tempat memberi pengajaran kepada “pengkhianat”.
Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH Tengku Zamrah Sulaiman, Perikatan Nasional (PN) Ghazali Zainal Abidin dan Rafie.
Baru-baru ini, Rafie dipecat PKR kerana bertanding sebagai calon bebas.
Dalam pada itu, Rafie berkata sebaiknya semua pihak menyerahkan kepada pengundi di Ampangan untuk menilai secara adil.
“Saya akan akur sama ada kalah atau menang jika proses pemilihan ini dijalankan secara adil,” katanya.
Rafie turut memaklumkan beliau menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada Anwar pagi tadi.
“Menyatakan dengan pengisytiharan tersebut, beliau (Anwar) secara tidak langsung hendak memutuskan hubungan silaturahim bersama saya.
“Agak malang ketika ini amat mudah untuk mana-mana pihak mengeluarkan istilah pengkhianat,” katanya.
Sumber: FMT