Umum

Kota Damansara bukan lagi kerusi selesa buat PH

Meskipun menang kerusi DUN Kota Damansara di Selangor dengan margin selesa pada pilihan raya umum 2018, kerusi berkenaan bukan lagi merupakan kerusi yang selesa buat Pakatan Harapan (PH) kali ini.

Pada PRU November tahun lalu, berlaku penurunan ketara dalam peratusan keluar mengundi, dengan calonnnya bagi kerusi parlimen Sungai Buloh hanya menerima 43 peratus undi daripada pengundi DUN Kota Damansara.

Ditambah dengan isu kerjasama BN dan DAP serta kos sara hidup yang meningkat, calon PH, Izuan Kasim berdepan tugas berat dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon dari PN, Radzlan Jalaludin dan calon PSM, A Sivarajan.

Rata-rata pengundi Melayu di kawasan itu yang ditemui Malaysiakini, terutama yang berpendapatan rendah, kelihatan cenderung kepada PN.

Menurut mereka, PN menunjukkan prestasi yang lebih baik sebagai kerajaan persekutuan ketika negara ini bergelut dengan wabak Covid-19.

Seorang penghatar makanan, yang hanya mahu dikenali sebagai Ari berkata dia berterima kasih terhadap bantuan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dalam tempoh tersebut.

Bapa empat anak berusia 38 tahun, yang berasal dari flat Gugusan Semarak di Seksyen 4 itu berkata, dia mengundi PN pada PRU lalu dan mahu melakukan perkara yang sama pada 12 Ogos ini.

“Saya ada empat anak berumur satu hingga 12 tahun. Semasa PN jadi kerajaan, mereka banyak bantu, beri bantuan untuk anak-anak, sekolah dan sebagainya,” katanya.

Kemarahan terhadap bekas wakil rakyat PKR

Sementara itu beberapa suri rumah dan ibu tunggal dari flat Seri Purnama di Subang Bestari – seperti Juliana Mohd Nazri dan rakannya Noraini Ghazali – juga sedang mempertimbangkan untuk mengundi PN.

Mengakui mereka adalah penyokong BN pada masa lepas, kedua-dua wanita itu mahu melihat perubahan dalam kerajaan negeri.

“Sebab nampak perubahan dia (ketika di bawah PN). Kita cuba PN pula memerintah, mana tahu masing-masing ada idea masing-masing.

“Kalau boleh Malaysia, masalah barang tu yang kalau boleh (diatasi), kos (sara hidup) tu tinggi sekarang. Macam kami ni suri rumah, ada anak, kami B40, pendapatan tak ada sangat.

“(Ketika era) PN nampak macam ekonomi tu bagus sikit la,” kata Juliana, 40, yang mengusahakan gerai buble tea bersama suaminya untuk menyara lima ahli keluarga mereka.

Dalam temu bual yang dijalankan, beberapa pengundi turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bekas Adun mereka, Shatiri Mansor dari PKR.

Penduduk Gugusan Semarak, Mohd Atan Ahmad, 58, yang mengundi Shatiri pada PRU 2018, meluahkan rasa kesal berbuat demikian.

“Saya ni dulu BN. Biasalah berubah, cuba Pakatan Harapan. Tapi tengok Pakatan Harapan ni kurang beri perhatian

“Pada saya YB BN dulu tu Halimaton dia lebih beri perhatian. Macam bencana alam, dia turun padang. Bantu dari segi laksana apa yang perlu. YB sekarang ni susah nak jumpa.

“Walau PH yang baru ni menang parlimen, sekalipun tak datang jumpa rakyat. Sejak menang tak pernah jumpa dia, jadi kami tak ada saluran nak mengadu apa-apa masalah,” ujarnya.

Atan berkata, sentimen untuk menukar kerajaan negeri juga semakin kuat dalam kumpulan Whatsapp penduduk di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, yang memperkenalkan diri sebagai Intan, mendakwa Shatri tidak menunaikan janjinya untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Tambahan pula, sebilangan pengundi memberitahu Malaysiakini bahawa Radzlan dari PAS lebih dikenali berbanding Shatiri, sejak beberapa tahun lalu. Shatiri kini digugurkan sebagai calon.

Sentimen anti-DAP

Selain isu-isu berkenaan, pengundi Melayu, terutama yang menyokong BN dahulu, tidak selesa dengan kerjasama dengan DAP.

Ini merupakan salah satu sebab utama mereka akan mengundi PN.

Bagi Noraini yang merupakan seorang pengguna kerusi roda, pilihannya mudah sahaja.

“Kita cuba PN sebab dia Melayulah,” katanya.

Rakannya Intan, pula percaya dengan naratif bahawa DAP memperjuangkan ideologi komunis.

“Kalau dengan PKR tak ada masalah (kerjasama) sebab sesama Islam.

“Tapi kerjasama dengan DAP tu kita tak boleh terima. Sebab DAP tu komunis kan, dia tetap dengan ideologi dia, kita tak boleh terimalah. Kita kena pertahankan negara kitalah, sebab kerjasama dengan DAP ni, dah tak nak (dengan BN).

Begitu juga dengan Muaz, 29 seorang kerani dari flat Gugusan Dedap di Seksyen 11, dan Siti Azizah Man, 47, yang berpendapat faktor DAP menghalang mereka daripada mengundi calon PH.

“Tak nak dah (mengundi BN) sebab kawan dengan DAP.

“Kalau PAS ni lebih pada agama. Kalau mati nanti ditanya bukan dunia je, akhirat juga. Kalau salah pemimpin nanti disoal,” ujar Siti.

Malaysiakini dimaklumkan sesetengah pengundi juga tertarik kepada PN kerana manifesto gabungan itu, yang menjanjikan banyak habuan dan bantuan kewangan untuk rakyat Selangor.

Ini termasuk janji untuk memberikan air percuma, insentif tunai untuk pasangan pengantin baru dan pakej bulan madu di dalam negara, RM500 untuk ibu yang baru melahirkan anak dan bantuan tunai sebanyak RM400 sebulan untuk kira-kira 65,000 keluarga yang layak di bawah “Bantuan Prihatin Keluarga Selangor.”

Kota Damansara merupakan kawasan pilihan raya dengan kira-kira 60 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (27 peratus) dan India (12 peratus).

Pada PRU 2018, Shatiri memenangi kerusi itu dalam pertembungan empat penjuru selepas menewaskan penyandangnya, Halimaton dengan 15,703 undi.

Calon lain ialah Siti Rohaya Ahad daripada PAS, yang mendapat 5,633 undi, dan Sivarajan (435).

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top