Umum

Abdul Wahab telah tampil buat laporan di IPD Kajang

Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani sudah tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada hari Khamis.

Abdul Wahab, 33, yang hadir bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman, sekitar jam 11 pagi kemudiannya dilihat keluar pada jam 12.57 tengah hari menuju ke bilik Pegawai Penyiasat di IPD Kajang.

Pada masa ini proses siasatan masih dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kajang, namun butiran berhubung laporan polis yang dibuat Abdul Wahab masih belum dapat dipastikan.

Faizal juga memaklumkan bahawa beliau akan memberikan butiran berhubung kehadiran mereka ke IPD Kajang kepada pihak media sebaik proses siasatan selesai dijalankan.

Pada Rabu, peguam Abdul Wahab mengesahkan bahawa anak guamnya itu hadir ke Bukit Aman, bagi proses rakaman percakapan berhubung kes berkenaan.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zaid berkata, pihaknya sudah merakam percakapan tiga individu dalam kes berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, ‘Mr H’ dan pekerja sebuah hotel tempat sidang media antara Agus dan Abdul Wahab diadakan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian

 

PALING POPULAR

To Top