Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada parti politik yang tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini adalah kerana, peratusan keluar mengundi yang rendah hanya akan memberi lebih peluang kepada parti berkenaan untuk memenangi PRU15.
Mohamed Azmin, bagaimanapun, tidak menyebut secara jelas parti tersebut, namun, dipercayai dakwaan itu merujuk kepada UMNO.
“Inilah wajah sebenar mengapa PRU15 diadakan dalam musim hujan lebat dan kemungkinan banjir besar.
“Walau bagaimanapun, PN tidak gentar dengan kedegilan dan keangkuhan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahli Parlimen Gombak itu menambah, perkembangan politik semasa juga menggambarkan UMNO gagal merasai denyutan nadi dan bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi, serta keadaan cuaca yang amat mencabar.
Selain itu, beliau menegaskan, PN akan menyertai PRU15 dengan tekad untuk meneruskan agenda prihatin rakyat serta mengangkat martabat umat dan negara.
PN, tegas Mohamed Azmin, bersiap siaga untuk menyertai PRU15 dengan semangat yang tinggi bagi menyelamatkan negara dan rakyat Malaysia.
“PN beriltizam untuk terus mengorak langkah menjana kekayaan negara, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan menjamin kemakmuran bersama.
“Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat demi masa depan nusa dan bangsa,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut menyifatkan pembentangan Bajet 2023 adalah sia-sia, membazir sumber tenaga serta masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas pulas untuk mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan belanjawan.
Katanya, keutamaan seharusnya ditumpukan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran semasa dan memulakan kehidupan yang lebih terjamin.
Jelas beliau lagi, pendirian PN adalah jelas agar tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha-usaha mencerdaskan dan memulihkan ekonomi negara.
“Usaha tersebut seperti menyediakan bantuan kewangan buat para peniaga kecil bagi meneruskan aktiviti perniagaan, melanjutkan moratorium untuk tempoh yang lebih munasabah, mengawal inflasi serta terus berusaha mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Kerajaan PN telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang menyentuh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri. Inilah PN yang fokus untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara,” ujar Mohamed Azmin.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Sumber: Astro Awani