Umum

Salahkan diri sendiri bukan orang lain, kata Muhyiddin kepada Ismail Sabri

Tan Sri Muhyiddin Yassin membalas kritikan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menunding jari kepada orang lain terhadap kesalahan dilakukan dirinya sendiri berhubung keputusan membubarkan Parlimen baru-baru ini.

Presiden Bersatu itu menyifatkan Ismail Sabri tidak mencerminkan keperibadian sebagai seorang pemimpin apabila tidak mahu memikul tanggungjawab dan hanya tahu mencari salah orang lain, walhal dirinya sendiri yang melakukan kesalahan.

“Saya fikir ia sangat tidak bertanggungjawab sebagai Perdana Menteri menyalahkan saya atau jemaah menteri terhadap apa yang berlaku sekarang.

“Saya fikir dia tidak boleh menyalahkan siapa yang bertanggungjawab. Kita tidak mahu pertikaikan yang dipersembahkan kepada Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Agong telah bertindak atas budi bicaranya.

“Bukan dia kata dia setuju kerana ada desakan daripada sesiapa, kita minta seboleh mungkin jangan ada pilihan raya. Siapa sini suka pilihan raya masa banjir, tak ada kan,” katanya petik laporan media hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri menunding jari kepada jemaah menterinya susulan langkah mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai membantah kepada usaha untuk membubarkan Parlimen.

Surat tersebut diutuskan bertujuan bagi mengelakkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada ketika negara bakal berdepan musim banjir.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak mengendahkan permintaan Kabinetnya sendiri apabila secara tergesa-gesa bertindak membubarkan Parlimen pada Isnin lalu.

Menurut Muhyiddin, tindakan mengutuskan surat itu hanya untuk menyuarakan suara rakyat dan wakil sidang Kabinet kerana tidak ada perbincangan secara mendalam mengenai pembubaran Parlimen.

Muhyiddin juga mengungkit kembali berhubung perjanjian yang ditandatangani Ismail Sabri semasa mahu mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi Perdana Menteri tetapi nampaknya janji tersebut tidak ditepati.

“Saya sebenarnya ada perjanjian dengan Datuk Seri Ismail Sabri waktu beliau menjadi Perdana Menteri, kandungannya kalau nak dibubarkan Parlimen sewajarnya bincanglah dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

“Kenapa kita minta itu, kerana kita merupakan komponen terbesar dalam kerajaan, adilkah? Ini tidak adil. Jadi bila dia tahu semua orang serang dia dari semua arah, dia kata Muhyiddin punya salah, ini menteri yang salah,” katanya lagi.

Bekas Perdana Menteri itu sekali lagi menegaskan bahawa Ismail Sabri harus menyalahkan dirinya sendiri.

“Jangan salahkan kita, kita menyuarakan tanggungjawab parti, menjaga kebajikan rakyat, prihatin nasib rakyat, kita suarakan itu.

“Perdana Menteri pun walau apa-apa pun dia nak kata, tetapi dia perlu bertanggungjawab tentang apa dia dah lakukan sebab itu jangan salahkan orang, salahkan diri sendiri apa yang sudah dilakukan,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top